Dalam sejarah dunia, Allah menunjukkan betapa fitrah alam menguji orang-orang yang ingin berjaya. Kadangkala ada perkara yang kita benci, tetapi ia baik untuk kita. Ada juga perkara yang kita suka, tetapi ia memudaratkan kita. Allah menyebut jelas dalam surah al-Baqarah ayat 216,"...dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu, dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ianya memudaratkan diri kamu. Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui." Jangan sedih jika selama ini kita tidak mencapai apa yang diidamkan. Kita bukan gagal, tetapi 'belum berjaya'. Mari kita tengok beberapa contoh kisah orang yang tidak pernah berasa gagal, sebaliknya terus berusaha kerana mereka yakin dengan kejayaan mereka...
Kolonel Sanders dan Resipi Rahsianya
Siapakah sebenarnya Kolonel Sanders. Beliau adalah orang yang mencipta resipi ayam goreng Kentucky Fried Chicken. Beliau mencipta nama dan kejayaan dengan resipi itu. Kolonel Sanders bersara pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kolonel Sanders berasa kecewa dan tidak berpuas hati. Namun, beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya berkenaan jumlah kecil yang diperoleh itu. Beliau seterusnya memutuskan hendak mencadangkan resipi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Tetapi malangnya, resipinya itu ditolak mentah-mentah. Apakah yang berlaku kemudiannya?
Kolonel Sanders tidak berputus asa. Baginya dia tidak gagal, cuma belum berjaya. Dia terus mencuba, sehingga orang ke 1000 pun masih menolak resipi kebanggaannya itu. Namun dia tidak berasa gagal, dia masih yakin dengan kejayaannya, cuma kejayaan itu belum tiba lagi. Akhirnya, dia bertemu dengan orang ke 1009, dan dia pun berkata,"Hmmm...resipi ini sungguh bagus!" Sembilan tahun kemudian, selepas perniagaannya maju, Kolonel Sanders menjual perniagaannya dengan harga US$2,000,000. Kini rangkaian restoran KFC ada di merata-rata dunia, digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Jika Kolonel Sanders berasa dirinya sudah gagal lantas berputus asa, adakah beliau akan berjaya membina empayar perniagaan seperti itu?Sudah tentu tidak!Jadi, kenapa kita perlu berasa kecewa dan gagal?
Thomas Alva Edison pernah berkata,"Ilham orang yang genius hanya menyumbangkan satu peratus kepada kejayaannya, manakala 99 peratus lagi adalah usaha yang gigih."Beliau membuktikan kegigihannya dengan bekerja selama 18 jam sehari. Beliau mengambil masa sepuluh tahun bagi menghasilkan bateri nikel-besi-kadmium. Beliau melakukan klasifikasi kepada 17,000 jenis tumbuhan sebelum berjaya mengeluarkan lateks daripada satu jenis tumbuhan sahaja. Beliau juga mencipta lampu selepas berusaha lebih 10,000 kali. Akhirnya, beliau membuktikan kejayaannya apabila berjaya mempatenkan sebanyak 1093 jenis rekaan , walaupun hanya menghadiri sekolah selama enam bulan sahaja. Apabila kita mengatakan kita gagal, adakah kita sudah melakukan seperti apa yang Edison lakukan?
Ada banyak lagi contoh sejarah membuktikan hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah sesudah mencuba ribuan kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan selepas dipenjarakan hampir suku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walaupun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana kegigihannya.
Pepatah Inggeris ada menyebut yang bermaksud,"Apabila perjalanan menjadi sukar, Kesukaran akan memulakan perjalanan."Ini bertepatan dengan ayat Quran dalam surah al-Insyirah, di mana Allah menyebut,"Sesungguhnya, bagi setiap kesukaran itu ada kesenangan."
Dalam pengurusan kerja dan masa pun begitu juga. Mungkin saudara berasa bahawa saudara adalah jenis orang yang gemar menangguhkan masa, dan tidak mungkin saudara boleh berubah. Nanti dulu! Jangan fikir saudara seorang yang gagal, kerana ianya akan memudaratkan diri saudara."Orang yang berhenti tidak akan menang, dan orang yang menang tidak akan berhenti."Oleh itu jangan berhenti sekarang, jadilah orang yang berjaya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment