Thursday, 11 June 2009

Zon Selesa

Kebiasaannya, mereka yang berada dalam zon selesa pasti berasa mudah hendak memiliki apa yang mereka mahukan dan mereka pasti 'hanyut' dengan kemewahan dan keselesaan yang mereka kecapi. Hal ini boleh dihubungkaitkan dengan penjelasan Tuhan di dalam Quran surah al-Israk ayat 83 yang bermaksud, "Dan apabila kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (daripada bersyukur) dan apabila dia merasai kesusahan, jadilah dia berputus asa."
Terlalu banyak keselesaan membuatkan kita bosan dan tidak kreatif. Otak menjadi kaku kerana neuron-neuronnya tidak saling berhubung. Semakin kurang peraturan dan disiplin yang kita buat mengenai hidup bukan bermakna kita bebas. Tetapi sebenarnya kita terikat dengan kebekuan tadi. Memang! Apabila kita mempunyai impian untuk dicapai, sudah pasti perlu ada usaha bagi mencapainya. Kita mungkin dikritik, kesempitan wang dan kehabisan tenaga.
Contohnya, kita seorang guru yang memiliki ijazah sarjana muda. Apabila bekerja, kita mempunyai hasrat melanjutkan pelajaran ke tahap sarjana. Kita mungkin tidak mendapat persetujuan dan pelepasan daripada pengetua, pengorbanan masa bersama anak-anak dan isteri pada hujung minggu kuliah pada hari minggu, bebanan tugas di sekolah, tugasan pengajian sarjana, perlu membayar yuran pengajian, jarak tempat belajar yang jauh dari kediaman dan pelbagai masalah lagi yang kita mungkin hadapi. Ini bererti, kita berani mengambil risiko untuk berjaya. Kita seorang yang positif dan tidak berasa selesa pada satu tahap sahaja.
Bagaimana pula orang yang sudah berasa selesa dengan keadaannya? Pasti ini jawapan yang terbit daripadanya, "Aku senang hidup sebegini, buat apa hendak menyusahkan diri?," "Tidak perlu sambung belajar, cukup dengan apa yang ada." Individu seperti ini memandang negatif pada kejayaan dan berasa empuk kerusi sekarang serta selesa dengan tahap ilmu yang dia miliki.
Lain pula halnya dengan orang yang berada dalam zon selesa tetapi positif untuk berjaya. Dengan keselesaan yang kita miliki kita dapat menggunakannya bagi membina kekuatan diri sama ada daripada aspek emosi, intelek dan hati. Kita dapat menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh bagi meningkatkan pencapaian. memanfaatkan kesenangan harta, jawatan dan kelebihan supaya lebih cemerlang. Contohnya, kita seorang pelajar daripada keluarga berada, kita dapat menghadiri kelas-kelas tuisyen, membeli bahan bacaan demi meningkatkan pengetahuan dengan meminta wang daripada ibu bapa.

No comments:

Post a Comment