Wednesday, 8 July 2009

Hiasi Wajah dengan Senyuman

Bibir adalah satu bahagian badan yang dapat mengungkapkan pelbagai jenis emosi tertentu. Bibir dapat menunjukkan isyarat semasa seseorang itu berada dalam keadaan sedih, benci, meluat, keliru, hairan, gembira, mesra dan banyak lagi. Ramai orang dapat mentafsirkan emosi dengan melihat 'bahasa bibir' yang sedang kita pamerkan semasa berinteraksi dengan mereka.Oleh itu, ia penting bagi 'menjaga' bibir supaya tidak memberi suasana yang tidak memberangsangkan di tempat kerja. Apabila kita kelihatan 'muram dan kusam', sudah pasti tiada siapa yang berani mendekati kita. Apabila tiada orang yang tidak berani bersama kita, sudah tentu keadaan di tempat kerja tertekan dan membosankan.


Ingatkan Diri Kita tentang Senyum
Adakalanya kita lupa hendak senyum. Tekanan dan bebanan kerja seringkali menjadikan bibir kita termuncung dan mencebik sahaja tanpa disedari. Apa yang lebih buruk adalah kita berasa diri kita sudah cukup ceria, tetapi sebenarnya wajah kita seperti seekor singa betina yang kehilangan anaknya!
Oleh yang demikian, buatlah sesuatu bagi 'mengingatkan' kita perlu senyum. Ada satu petua menarik daripada seorang eksekutif di Kuala Lumpur. Dia mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan dia sentiasa kelihatan ceria dan tersenyum. Bagaimana caranya? Senang sahaja.
Paling mudah adalah dengan menampalkan poster peringatan seperti, "Senyumlah, kita akan ceria" ataupun "Senyumlah" dan beberapa lagi. Poster-poster seperti ini ada dijual di kedai-kedai buku ataupun boleh dicetak sendiri di pejabat.
"Setiap kali saya terpandang poster itu, saya pasti senyum. Setiap kali saya tersenyum, saya dapat rasakan kegembiraan yang meresap ke dalam tubuh saya. Apabila saya rasa seronok, saya dapat hilangkan kebosanan dan rasa mengantuk.....," terang eksekutif muda itu sambil tersenyum.
Selain daripada itu, kita juga boleh menampalkan sticker di telefon pejabat kita. Dan setiap kali kita hendak mengangkat gagang telefon, kita terpandang sticker itu dan tersenyum. Ingat, walaupun orang yang menelefon tidak nampak kita sedang senyum, tetapi mereka dapat membayangkan wajah kita daripada suara kita. Senyum 'meresap' masuk ke dalam suara dan memberikan gambaran bertenaga kepada bakal pelanggan kita!

Teknik Senyum
Kita tahu betapa pentingnya sentiasa senyum di tempat kerja. Namun persoalannya, macam mana hendak senyum? Sekiranya kita sedang berada dalam keadaan yang cukup letih dan kecewa, adakah kita dapat menjadikan wajah kita sentiasa tersenyum?
Oleh sebab itulah kita perlu benar-benar mahir bagaimana hendak senyum! Bunyinya agak pelik, tetapi percayalah, tidak ramai yang mahir senyum. Buktinya? Buka dompet dan lihat muka dalam kad pengenalan kita. Adakah kita sudah cukup tersenyum? Bagaimana pula dengan gambar abang dan kakak kita? Ibu dan ayah kita? Rakan-rakan yang lain? Apabila kita meneliti, hanya sedikit sahaja yang kelihatan senyum dan ceria. Kenapa? Kerana mereka benar-benar belajar bagaimana hendak senyum.
Sebenarnya, senyum adalah satu aktiviti yang cukup ringkas dan mudah. Ada dua perkara utama yang perlu kita lakukan untuk senyum. Pertama, panjangkan otot bibir kita. Dan yang kedua, angkat otot pipi kita. Senang bukan?
Pada mulanya, memang kelihatan senyuman itu tidak berapa menarik. Jangan risau. Berlatihlah di hadapan cermin bagi mendapatkan senyuman yang benar-benar ceria dan menceriakan. Panjangkan bibir dan angkat otot pipi. Lakukan setiap hari supaya otot-otot muka kita menjadi kuat dan mahir menghasilkan senyuman yang benar-benar mampu 'menawan dunia'! Alah bisa tegal biasa......

No comments:

Post a Comment