Tuesday 26 May 2009

Bersatu di dalam Satu Nada

Pada hari Ahad yang lepas bersamaan 24 Mei 2009 jam 6.00 petang selesailah sudah mesyuarat UMNO cawangan di kampung saya, Kampung Batu Melintang, Tapah. Mesyuarat tersebut diadakan Di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Melintang. Mesyuarat ini satu agenda yang harus diadakan bagi mengukur samada masyarakat kampung Batu Melintang, Sunut, Kenoh, Sungai Merah bergerak aktif atau tidak di dalam United Malayan National Organization(UMNO). Sekiranya mesyuarat ini gagal diadakan, cawangan UMNO di kampung saya akan digantung sekaligus menampakkan ketua UMNO cawangan tidak bergerak aktif atau dengan ertikata lain ketua UMNO cawangan gagal memacu organisasi ini kearah yang sepatutnya. Alhamdulillah berlatarbelakangkan seorang pesara tentera, Ketua UMNO cawangan di kampung saya boleh dikatakan berjaya memacu masyarakat seluruh kampung ke satu tahap yang boleh dibanggakan di peringkat kampung-kampung sekitar mahupun daerah. Sebelum mesyuarat UMNO cawangan ini diadakan mesyuarat bagi sayap-sayap parti juga harus diadakan iaitu mesyuarat pemuda UMNO dan mesyuarat puteri UMNO. Kedua-dua mesyuarat sayap parti ini juga berjaya diadakan dengan kekuatan ahli yang hadir melebihi korum yang minima. Jumlah Ahli UMNO yang berbayar bagi tahun berakhir 2008 adalah seramai 231 orang. Jumlah ini termasuk bilangan ahli Pemuda dan Puteri. Bagi mesyuarat UMNO cawangan korum minima yang diperlukan adalah seramai 65 orang dan jumlah ahli yang hadir adalah seramai 91 orang. Apa yang menarik perhatian saya di sepanjang mesyuarat ini di jalankan adalah:

(1) Disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh masyarakat orang asli disepanjang sesi mesyuarat dijalankan.

(2) Masyarakat Pemuda kampung yang terdiri dari golongan belia begitu tekun ketika mendengar ucapan daripada ketua UMNO cawangan.

(3) Slogan 'Bersatu di dalam Satu Nada' yang dilaungkan oleh ketua UMNO cawangan.

(4) Cuaca panas tetapi semua para ahli tidak berganjak dari tempat masing-masing sehingga mesyuarat selesai dijalankan.

(5) Aturcara mesyuarat yang lancar di sepanjang perjalanan mesyuarat.

(6) Persiapan dan persediaan mesyuarat yang cukup terperinci.

(7) Buku minit yang di penuhi dengan maklumat yang berguna untuk santapan minda para ahli UMNO.

(8) Kehadiran YB Dato' Samsudin b. Abu Hassan selaku Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Tapah, Ketua UMNO bahagian Tapah merangkap ADUN Ayer Kuning.

Di akhir mesyuarat, saya telah bertanyakan secara peribadi kepada ketua UMNO cawangan, apakah yang beliau tekankan di dalam slogan 'Bersatu di dalam Satu Nada'. Sambil tersenyum beliau menjawab untuk menyelesaikan sesuatu isu atau permasalahan di peringkat penduduk kampung kita perlu bersatu atau sebulat suara menyampaikannya keperingkat atasan. Ini supaya peringkat atasan dapat mendengar rintihan dan seterusnya permasalahan tersebut dapat dikenalpasti dengan cepat dan betul.

No comments:

Post a Comment