Saturday 13 June 2009

PPSMI

Teringat dengan kata-kata sinis Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim yang mengatakan bahawa sekolah di Malaysia tidak melahirkan pelajar yang berkualiti dari segala semua segi apatah lagi penguasaan ilmu. Pelajar era sekarang hanya ke sekolah kerana mereka diberitahu oleh ibu-bapa "mesti pergi ke sekolah" tetapi tidak diberitahu secara jelas untuk apa ke sekolah. Sekolah sama ada ternama atau tidak, tidak penting. Ilmu yang diperoleh dari sekolah itu lebih penting. Kalau sekolah ternama sekalipun tetapi pelajarnya tidak berilmu, maka sekolah itu perlu "dicuci" sebersih-bersihnya.Pepatah latin ada menyebut "Non scholae sed vitae discimus" yang membawa maksud "Kita menuntut ilmu bukan untuk sekolah tetapi untuk kehidupan.Sekolah sekarang mungkin sudah tidak mampu melahirkan orang seperti Dr M Jegathesan yang berjaya mewakili Malaysia ke sukan olimpik pada usia yang muda. Sekolah sekarang hanya melahirkan "penghafal mati" apa yang dipelajari di sekolah tetapi tidak digunakan di dalam kehidupan seharian. Janganlah hairan kalau-kalau sekarang ini budak lulusan universiti pun banyak kena tipu peraduan gores dan menang yang ditunggangi oleh orang yang tidak pernah masuk universiti.Secara jujur, saya katakan bahawa sekolah di zaman penjajahan British lebih baik. Bersistematik dan benar-benar ke arah pencapaian ilmu.Untuk berilmu kita tidak boleh bergantung semata-mata dengan sekolah/universiti dan guru. Kita perlu banyak mengkaji, membaca, berkomunikasi, dan sebagainya. Dan yang penting ialah rajin berusaha menuntut ilmu walaupun rambut kita mulai dipenuhi uban. Saya masih ingat lagi dengan "RAJIN, BACA, USAHA." Dan saya masih pegang ketiga-tiganya sehingga kini. Banyak juga ilmu yang saya dapat. Saya sudah mampu membaca lebih daripada dua bahasa (B Melayu, B Inggeris).Kementerian pelajaran/pendidikan, para penggubal dasar pendidikan/pelajaran, cendekiawan, bijak pandai, ibu-bapa dan lain-lain perlu berusaha untuk meletakkan satu anjakan paradigma agar pemerolehan ilmu semaksimum mungkin terlaksana.Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang boleh dikira baik. Asas pun sudah ada cuma mengalami masalah perlaksanaan. Itu saya akui.Sijil setinggi mana pun statusnya tidak berguna juga kalau tuan punya sijil lebih dangkal orang yang tidak pernah sekolah. PPSMI penting untuk ilmu. Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) daripada sistem pelajaran kebangsaan boleh diibaratkan seperti membuang sesuatu yang baik atas nama “kebaikan.” Hanya golongan “idiosyncratic” sahaja yang membuang sesuatu yang baik atas nama kebaikan. Membuang sesuatu yang baik akhirnya menempah anachronism, bukannya kebaikan.Dalam mengembangkan ilmu, bahasa adalah “batu loncatan”nya. Ilmu sebenarnya boleh berkembang walaupun dengan hanya menggunakan satu bahasa. Tetapi memerlukan syarat iaitu seseorang ilmuan perlu menghasil dan mengembangkan ilmu sebanyak yang mungkin tanpa mencedok ilmu yang dihasilkan oleh ilmuan (bangsa) lain. Tiada satu bangsa pun yang dapat menghasil dan mengembangkan ilmu hanya dengan menggunakan satu bahasa. Bangsa Eropah dan Jepun umpamanya menghasil dan mengembangkan ilmu dengan terlebih dahulu mengkaji, mempelajari, dan menggunakan bahasa bangsa lain sama ada dalam bentuk pengajaran mahupun pembelajaran.Bagi sesetengah pihak, perlaksanaan PPSMI dilihat sebagai membunuh Bahasa Melayu, jauh sekali menyifatkannya sebagai pengembangan ilmu ke dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu sememangnya diakui bahawa ia memiliki segala komponen bahasa yang lengkap sebagaimana bahasa-bahasa utama dunia. Cuma, “ilmuan Melayu” zaman sekarang “kurang lengkap” dengan ilmu yang diperlukan untuk melengkapkan Bahasa Melayu dengan ilmu. Input ilmu amat diperlukan oleh Bahasa Melayu supaya ia dapat berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa yang unggul dan agar dapat sama rata sama rasa dengan bahasa bangsa lain dunia. PPSMI bukanlah pembunuh sebenar Bahasa Melayu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pembunuh sebenar Bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, terutamanya golongan “Melayu Muda Lupa.” Golongan ini bukanlah lupa bagaimana berbahasa Melayu dalam kehidupan seharian, tetapi telah lupa kepada “Apa itu Bahasa Melayu?” “Bahasa Melayu itu untuk siapa?” dan “Bagaimana berbahasa Melayu dengan betul?” Golongan “muda lupa” ini bukan sahaja berselerak di kalangan masyarakat Melayu malah di kalangan kelompok pemimpin kerajaan yang memerintah, para penggubal dasar kerajaan yang memerintah, cendekiawan dan ilmuan Melayu pun ada juga. Adakah pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ahli dalam Bahasa Melayu? Kita harus dan perlu sedar bahawa bahasa itu penting dalam penghasilan dan pengembangan ilmu. Ilmu kegunaan manusia yang dicipta oleh Allah Yang Maha Pemurah terbenam di dalam akal fikiran setiap manusia di atas muka bumi ini tanpa mengira sama ada ia berkulit putih atau tidak, Islam atau tidak. Ilmu yang terbenam ini hanya boleh diterokai melalui bahasa tanpa mengira apa bahasa sekalipun yang digunakan.Oleh yang demikian perlaksanaan PPSMI adalah langkah yang amat pragmatik terhadap penerokaan ilmu di samping mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penterjemahan ilmu ke dalam Bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment